Mungkin pelik, mungkin aneh atau katalah apa sahaja tetapi inilah hakikatnya apabila seorang lelaki yang asalnya hanya seorang pengamal perubatan tradisional boleh mengisytiharkan dirinya sebagai 'Duli Yang Mulia Sri Sultan Notobroto Nusantara 1’.
Lebih menarik, dia juga dikatakan diangkat sebagai 'Agong Nusantara’ oleh sultan-sultan di Indonesia. Kedudukan itu membolehkan lelaki tersebut menganugerahkan pelbagai darjah dan pingat termasuk membawa gelaran 'Datuk’ dan 'Datuk Seri’.
 Siapakah lelaki tersebut dan apakah modus operandimya? Dalam laporan khas kali ini wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR memaparkan 'tembelang’ lelaki berkenaan.


Seorang individu rakyat Malaysia mendakwa dirinya sebagai 'Agong Nusantara' telah menyampaikan anugerah pingat dan darjah kebesaran kepada beratus-ratus rakyat negara ini di Indonesia.

Situasi ini mungkin dilihat aneh dan melucukan, tetapi itulah yang dilakukan seorang individu yang suatu ketika dahulu hanya seorang pengamal perubatan tradi­sional dan secara tiba-tiba muncul menggelarkan dirinya sebagai 'Duli Yang Maha Mulia Sri Sultan Notobroto Nusantara manakala isterinya pula, Kanjeng Sri Ratu Notobroto.

Gelaran itu dikatakan digunakan sejak 2011 yang mendapat kecaman pelbagai pihak dalam laman-laman sosial.