Dalam biografi berjudul Into the Wild, Jon Krakaeur memaparkan kisah Christopher McCandless menerusi satu pengembaraan solo.
Kisah McCandless mendapat perhatian dunia apabila catatannya dalam jurnal 107 hari ditemui bersama kamera filem yang belum diproses selepas dia meninggal dunia kerana keracunan makanan.
Dalam biografi itu, Krakaeur menulis beberapa nilai positif yang boleh didapati melalui aktiviti kembara beg galas (backpacker) dan solo. Antaranya, pencarian diri sendiri, penghargaan terhadap alam dan memahami struktur budaya yang berbeza-beza.
Selepas itu, aktiviti kembara solo dan beg galas bagai menjadi ikutan. Bukan kerana kisah sedih punca kematian McCandless, tetapi disebabkan nilai pengalaman di sebalik kembara beg galas itu sendiri.
Rentetan itu, ramai anak muda mula merancang melakukan aktiviti berkenaan sama ada secara solo atau berkumpulan.
Namun kisah McCandless itu bukanlah permulaan aktiviti kembara seumpama itu. Ia sebenarnya bermula daripada subbudaya Hippie yang banyak dikaitkan dengan festival muzik Woodstock yang cukup popular pada era 60-an.
Pada masa itu, ramai anak muda dari serata dunia mengembara dengan beg galas hanya untuk menikmati konsert yang berlangsung selama tiga hari tanpa perlu perancangan terlalu rapi. Semuanya dilakukan dengan keberanian dan percaturan berisiko.
Pelbagai persoalan pasti bermain di fikiran saat mahu memulakan pengembaraan. Di mana mahu bermula? Apa pula persiapan yang perlu dilakukan? Dan, di manakah lokasi tepat perlu dikunjungi terlebih dahulu?
Penulis menemu bual seorang pengembara beg galas yang aktif sepanjang tahun mengelilingi dunia semata-mata kerana minat.
Fadhullah Abd Manaf, 33, atau dikenali dengan nama komersialnya Fad Manaf, seorang jurugambar perkahwinan, berkata dia mula obses dengan kembara beg galas pada tahun 2008.
“Bangkok destinasi kembara pertama saya dan keseronokan melihat tempat orang menyebabkan saya membulatkan tekad mengembara ke negara lain,” katanya.
Fad berkata, sehingga tahun lalu, dia sudah mengembara di lebih 10 destinasi di sekitar Asia dan Eropah.
Antara destinasi pernah dikunjunginya ialah England, Itali, Croatia, Belanda, Perancis, Portugal, Monaco, Greece, Turki, Iceland dan beberapa negara Asia seperti Jepun, Singapura serta Indonesia.
Ditanya mengenai pengalaman yang diperoleh dalam setiap kembara, Fad berkata, melihat budaya orang banyak mengajarnya mengenai kehidupan.
“Setiap destinasi menawarkan pengalaman berbeza-beza. Berjumpa masyarakat tempatan dan melihat cara hidup mereka membuatkan saya belajar sesuatu mengenai kehidupan,” tambahnya.
Katanya, pengembaraan ke lima negara dalam masa tiga minggu menjadi pengalaman paling berharga buatnya.
“Kembara dari Berlin ke Verona, Venice, Lake Garda hingga ke Croatia, Greece dan Turki dalam masa tiga minggu pengalaman paling berharga.
“Saya bagaikan tak percaya kembara ini dapat dilaksanakan dalam tempoh kurang sebulan,” katanya yang baru pulang dari kembara di Iceland, sekali gus menyambut tahun baru 2016 di negara itu.
Dia merancang melakukan kembara ke negara itu sekali lagi pada musim panas bagi merasai pengalaman ‘road trip’ mengelilingi semua pulau di Iceland.
Bagi mereka yang ingin memulakan kembara beg galas, Fad berkata, persediaan mental dan fizikal sangat penting.
“Saat kembara, jangan terlalu tergesa-gesa dan ambil masa untuk menikmati segala peluang yang mampu menjadi pengalaman.
“Anda juga perlu ada perancangan tapi tak semestinya semuanya mesti berjadual.
“Adakala, anda hanya perlu berjalan dan jangan takut tersesat kerana situasi itulah yang mengajar kita menjadi lebih berani dan berdikari dalam mencari penyelesaian masalah,” katanya.
Sementara itu, Mohd Afnan Omar, 32, berkata dia terbabit dengan kembara beg galas untuk melihat tempat berbeza bermula tahun 2011 ke Bangkok, Thailand sebelum meneruskan pengembaraan ke India, Kemboja, China, Australia dan beberapa destinasi lain di Asia.
“Kembara ke India membuka mata saya untuk bersyukur dengan apa yang kita ada di Malaysia apabila melihat kehidupan rakyat negara itu yang serba kekurangan.
“Saya kagum dengan kecekalan mereka menjalani kehidupan seharian dan tidak pernah lekang dengan senyuman mesra buat pelancong,” katanya.
Afnan berkata, antara keterujaan ketika mengembara ialah apabila dapat berjumpa orang tempatan dan mengenali budaya mereka.
“Saya seronok setiap kali dapat beramah mesra dengan warga tempatan di destinasi berbeza dan mencuba makanan mereka menjadikan ia pengalaman cukup menarik yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Ditanya mengenai keselamatan ketika mengembara, Afnan berkata paling penting setiap pengembara perlu melakukan rujukan sosiopolitik dan budaya sesebuah negara.
“Ini penting kerana perkara luar jangka seperti rusuhan dan perang boleh terjadi pada bila-bila masa, jadi kita perlu ambil tahu perkembangan terkini di negara yang bakal dikunjungi,” katanya.

No comments:
Post a Comment