22/01/2016

Tunggang basikal buluh keliling dunia


Kuala Lumpur: "Saya nekad berhenti kerja untuk menjelajah dunia. Biarpun tindakan itu mendapat halangan daripada keluarga yang pada awalnya bimbang atas faktor keselamatan, ia bukan halangan untuk saya memenuhi impian sejak usia kanak-kanak,” kata warga China, Xiaofang Su, 28, yang menjelajah beberapa negara termasuk negara ini dengan menunggang basikal buluh.
Lebih mesra dipanggil Suskita, dia berkata, minatnya untuk berbuat demikian bermula sejak usianya 10 tahun.
"Selepas tamat pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Fujian Normal University di China, saya bekerja sebagai Pengurus Pemasaran di sebuah syarikat terkemuka di China selama enam tahun.

"Disebabkan minat mendalam untuk menjelajah dunia dengan berbasikal, saya nekad berhenti kerja selepas wang simpanan untuk berbuat demikian mencukupi," katanya ketika ditemui Harian Metro di KL Sentral, pagi tadi.
Suskita yang juga anak sulung daripada lima beradik itu berkata, segalanya bermula pada Julai 2015 lalu.
"Basikal buluh suatu ketika dulu memang popular di China. Saya membuat basikal buluh ini dengan seorang peniaga basikal di Fujian dengan menggunakan buluh dan dilengkapi gaya moden mengikut citarasa saya.
"Peniaga berkenaan berminat dengan idea dan menaja pembuatan basikal buluh ini.
"Saya mahu memperkenalkan dan mendedahkan basikal buluh ini ke seluruh dunia," katanya.
Menurutnya, dia sudah menjelajah Turki, Hong Kong, Taiwan, Singapura dan terbaru di Malaysia dengan menunggang basikal buluh.
"Di Malaysia saya sempat melawat Johor Bahru, Melaka dan Kuala Lumpur dan menggunakan basikal berkenaan untuk meneroka tempat lain di negara ini.
"Basikal ini ringan dan mudah dibawa. Jadi, tidak ada masalah jika saya mahu membawanya ketika naik bas atau kereta api dari satu tempat ke satu tempat," katanya.
Katanya, selama sebulan di Malaysia dia juga meminati budaya dan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini yang disifatkan sebagai unik.
"Malaysia mempunyai daya tarikan tersendiri dengan masyarakatnya yang sangat mesra dengan pelancong dari luar negara," katanya.
Menurutnya, banyak pengalaman menarik menjadi kenangannya, antaranya ketika di Turki.
Katanya, dia membantu pelancong warga China yang datang ke negara itu untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris terutama kepada syarikat pelancongan di sana sehingga dia ditawarkan menyertai syarikat itu terutama sebagai pemandu pelancong.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Babab.net