22/01/2016

Jutawan pembunuh


New Delhi: Mahkamah di India semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang ahli perniagaan jutawan kerana membunuh pengawal keselamatan dengan merempuh SUV dipandunya semata-mata kerana mangsa lambat membuka pintu pagar.

Muhammad Nisham, 39, didapati bersalah Rabu lalu kerana menghimpit pengawal keselamatan itu pada tembok menggunakan kenderaan Hummer dipandunya kerana mangsa lambat membuka pintu pagar ke kompleks apartmen dihuni tertuduh di Kerala, selatan India.

Pegawai Pendakwa C Pudayabhanu berkata: “Mahkamah menjatuhkan hukuman sepanjang hayat untuk kesalahan bunuh dan 24 tahun bagi kesalahan lain.


“Dia pesalah berulang dan kami berpuas hati dengan hukuman dikenakan.”

Muhammad juga didenda 8 juta rupee (RM516,000) yang separuh daripada jumlah itu mesti didermakan kepada keluarga mangsa.

Mangsa, Chandarabose, 50, mengalami pelbagai kecederaan dalam kejadian Januari tahun lalu dan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di hospital.

Pendakwa memberitahu mahkamah, Muhammad memandu Hummer untuk mengejar mangsa ke dalam kompleks apartmen itu sebelum menghimpitnya di tembok dan keluar untuk membelasahnya menggunakan batang besi.

Ini bukan kes jenayah pertama Muhammad. Dia mempunyai satu lagi tuduhan jenayah kerana membenarkan anak lelakinya berusia sembilan tahun memandu Ferrari pada 2013. Perbuatan itu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas dia memuat naik video ke YouTube.

Muhammad memperoleh kekayaan daripada beedi - rokok daun tradisional India - selain memiliki perniagaan hotel serta barang kemas di Asia Barat.

Dia dilaporkan amat meminati kereta mewah malah memiliki banyak kenderaan itu.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/109174#sthash.LPrqqeqT.dpuf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Babab.net